Sunday, 23 April 2017

Pengenalan

       Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Kepentingan institusi ini jelas apabila Allah S.W.T. mengadakan undang-undang dalam urusan kekeluargaan yang disebut sebagai munakahat.

      Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi individu yang baik kerana dari peribadi yang baik akan terbina keluarga yang baik, dari keluarga yang baik akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan mantap, seterusnya dari masyarakat yang berdisiplin akan tertegak negara yang cemerlang dan diredai oleh Allah S.W.T.

      Dalam bab ini, anda akan mengenali dengan lebih dekat tentang institusi Islam khususnya institusi keluarga dan masyarakat dalam Islam. Institusi keluarga merupakan unit terkecil dalam masyarakat dan merupakan unsur penting dalam Islam. Kejayaan dan kegagalan sesuatu masyarakat bergantung kepada kejayaan dan kegagalan setiap institusi keluarga yang berada di dalamnya.

      Dalam bab ini, anda akan mengetahui tentang falsafah, konsep, peranan, hak dan tanggungjawab keluarga dalam konteks Islam. Sama ada anda sudah berkeluarga ataupun tidak, namun yang pasti anda perlu tahu tentang hal-hal berkaitan keluarga kerana ia dapat membantu anda meningkatkan ilmu pengetahuan kekeluargaan.

      Bab ini juga akan menjelaskan kepada anda pembinaan sesebuah masyarakat. Dalam topik ini, anda diperkenalkan tentang konsep, falsafah, peranan dan tanggungjawab ahli masyarakat. Selain itu, anda juga berpeluang memahami pandangan Islam tentang masyarakat majmuk serta menyedari bahawa Islam menyeru ke arah pembinaan masyarakat pertengahan yang terbaik

Saturday, 22 April 2017

Pembinaan Institusi Keluarga


 Falsafah dan Konsep

     Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam masyarakat Islam. Ia merupakan unit kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Keluarga memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi individu yang baik. Dari situ akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan akan tertegak negara yang cemerlang serta diredai Allah s.w.t. Keluarga lahir dari ikatan perkahwinan antara dua individu yang kemudiannya berkembang menjadi suatu institusi keluarga.
Berikut merupakan tujuan perkahwinan menurut Islam:

     Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan menurut pandangan Islam perkahwinan adalah ibadat. Pandangan ini amat berbeza sekali dengan fahaman dan pegangan agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan lain-lain yang melarang ketua-ketua agamanya berkahwin kerana mereka percaya perkahwinan bukan ibadat.

Islam menerima perkahwinan itu sebagai satu ibadat kerana:
1. Memberikan sumbangan kepada agama, pembangunan negara dan masyarakat.

2. Melaksanakan perintah Allah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

3. Menunaikan amanah Allah iaitu mendidik anak-anak.

Dari segi falsafahnya, pembentukan institusi keluarga Islam adalah sangat penting atas dasar-dasar berikut:
1. Mengekalkan dan mengukuhkan kesinambungan generasi manusia

2. Memelihara akhlak dan kesopanan serta kemuliaan manusia

3. Menjamin kesejahteraan rohani dan jasmani

4.Menyemai semangat tolong-menolong, persaudaraan dan perpaduan

Peranan, hak dan tanggungjawab 

Kewajipan dan tanggungjawab suami


1. Suami menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Tempatkanlah mereka (isteri kamu) di mana kamu bertempat tinggal sekadar menurut kemampuanmu dan janganlah kamu mempersulitkan mereka supaya sempit kehidupan mereka.
(Surah al-Talaq: 6)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Lelaki itu bertanggungjawab ke atas wanita dengan apa yang dilebihkan oleh Allah sebahagian mereka atas sebahagian dan dengan apa yang mereka nafkahkan daripada harta-harta mereka.
(Surah al-Nisa’: 34)

2. Suami memberi nafkah sekadar yang mampu

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sejahat-jahat manusia ialah yang mempersempitkan nafkah keluarganya.
(HR. Thabarani)

Sabda Baginda lagi:

Dinar yang kamu nafkahkan ke jalan Allah. Dinar yang kamu belanjakan untuk membebaskan hamba. Dinar yang kamu belanjakan untuk orang miskin. Dan Dinar yang kamu belanjakan buat keperluan keluargamu. Maka yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan ke atas keluargamu itu.
(HR. Ahmad)

3. Mendidik isteri berilmu bagi menunaikan kewajipan fardu ain

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap wanita.
(Surah al-Nisa’: 34)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Nasihatilah oleh kamu semua terhadap wanita itu dengan cara yang baik kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.
(HR. Ibnu Majah dan Nasaee)

4. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman tidak halal bagi kamu mewarisi wanita secara paksa dan tidaklah boleh kamu menghalangi mereka daripada berkahwin supaya dikurangkan mas kahwin kecuali sekiranya nyata mereka berbuat kekejian dan bergaullah dengan mereka secara yang baik maka sekiranya kamu membenci mereka pada suatu perkara mungkin Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak.
(Surah al-Nisa’: 19)

Kewajipan dan tanggungjawab isteri


1. Menjaga kehormatan diri dan mentaati suami

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Maka para wanita yang baik itu yang berlaku taat dan memelihara diri ketika suami ketiadaan di rumah sebagaimana Allah memeliharanya.
(Surah al-Nisa’: 34)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Seorang isteri yang bersolat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan memeliharakan kemaluan dan berlaku taat kepada suaminya pasti masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka daripada pintu-pintu syurga.
(HR. Ahmad dan Tabarani)

2. Tidak keluar rumah kecuali dengan keizinan suami

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Mana-mana isteri yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya adalah dia dalam kemurkaan Allah Taala hinggalah dia balik ke rumah suaminya semula dan diredai suaminya.
(HR. al-Khatib)

Hak suami dan isteri dalam keluarga

1. Hak isteri dalam keluarga

a. Mendapat nafkah zahir dan batin daripada suami yang secukupnya agar hubungan yang harmonis dapat diwujudkan dengan suasana keseimbangan dan kesederhanaan.

b. Memperoleh perlindungan pakaian, tempat tinggal, jaminan keselamatan daripada suami agar dapat melaksanakan amanahnya dengan sebaik-baik mungkin.

c. Mendapat panduan nasihat yang baik daripada suami sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab dan berjiwa kasih sayang.

d. Dirahsiakan kecacatan isteri agar orang luar tiada mengetahui keaiban keluarga sendiri. Sikap memaafkan kelemahan isteri adalah perkara yang baik dalam menjamin kesejahteraan keluarga.

e. Suami wajar mengasihi keluarga isteri kerana sikap bertimbang rasa dan saling memahami antara mentua dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

2. Hak suami dalam keluarga

a. Kepemimpinan dan kekuatan dalam rumah tangga yang diletakkan atas bahu suami agar keluarga dapat dipimpin ke arah mendapat keredaan Allah s.w.t.

b. Ketaatan dan kesetiaan isteri kepada suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Jika suami mengingkari perintah Allah s.w.t. maka isteri tidak perlu taat kepada suami.

c. Isteri juga bertanggungjawab merahsiakan kecacatan suami kepada orang lain kerana suami adalah ketua keluarga yang menjadi model dalam keluarga. Jika peribadi suami diperkecilkan maka kepemimpinan keluarga akan terancam.

d. Layanan yang munasabah dan kasih sayang termasuk zahir dan batin daripada isteri agar keseimbangan keperluan rohani dan jasmani sentiasa dijaga.

e. Meminta keizinan daripada suami sebelum keluar rumah kerana suami adalah ketua keluarga yang perlu mengetahui gerak-geri ahli keluarganya sendiri agar kesetiaan dan kasih sayang sentiasa dipelihara.

Hak dan tanggungjawab bersama

1. Berhak menikmati kemanisan dan kebahagiaan hidup berumah tangga.

2. Bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

3. Harta kedua-duanya boleh diwarisi oleh salah seorang daripadanya apabila berlaku kematian.

4. Mendalami ilmu fardu ain.

5. Sering berbincang dalam segala hal untuk kebaikan bersama.

6. Bersikap jujur dan menepati janji.

7. Saling bermaafan jika berlaku kesilapan dan saling menasihati.

8. Sembahyang berjemaah digalakkan.

9. Bertawakal kepada Allah s.w.t. setelah berusaha untuk mencapai kebahagiaan.

Tanggungjawab keibubapaan

1. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak

a. Berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar dikurniakan anak yang soleh sebaik sahaja bernikah.

b. Mengazankan anak lelaki dan menqamatkan anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan.

c. Memberi nama yang baik kepada anak.

d. Menyusukan anak sehingga berusia 2 tahun.

e. Menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang munasabah.

f. Mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh dan beriman.

g. Memberi pendidikan yang sewajarnya.

h. Bersikap adil terhadap anak-anak.

i. Menguruskan perkahwinan mereka apabila sampai masa untuk berkahwin.

 Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa

a. Mentaati ibu bapa dalam segala hal selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

b. Menyahut seruan dan panggilan mereka dan segera hadir apabila diperlukan. Jangan meninggi      suara apabila bercakap dengan kedua-duanya.

d. Berdoa kepada mereka sama ada ketika hidup mahupun sesudah meninggal dunia.

e. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan oleh ibu bapa.

f. Menyebut segala kebaikan ibu bapa dan melupakan segala kesilapan dan kekurangannya.

g. Jadi anak yang membanggakan ibu dan bapa.

Pembentukan Masyarakat

Falsafah dan Konsep

  • Masyarakat dalam konteks Islam ialah gabungan manusia yang diwujudkan atas ikatan syariah rabbani yang bermatlamatkan kehidupan yang sejahtera serta aman damai. Masyarakat Islam juga merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang beragama Islam, mengamalkan ajaran Islam dan saling berkaitan antara satu sama lain.

  • Masyarakat Islam yang pertama ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat di Madinah. Umat Islam yang berada di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan tugas yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan cekal, gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh bagi masyarakat Islam selepasnya.

  • Tegasnya, walaupun masyarakat Islam terdiri daripada pelbagai kelompok manusia seumpama lelaki, perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, namun perbezaan ini tidak menyekat masyarakat Islam daripada mengenali atau berinteraksi antara satu sama lain. Uniknya, masyarakat Islam dari segi definisinya bukanlah kerana perbezaan warna, kulit, bangsa, bahasa dan negara, tetapi sejauhmana masyarakat itu tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. Ketakwaanlah yang menjadi ukuran penting dalam menentukan konsep masyarakat Islam.

Peranan, Hak dan Tanggungjawab.


     Di samping memahami konsep dan asas-asas pembentukan masyarakat Islam, anda juga harus sedar akan peranan, hak dan tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat Islam. Antara peranan, hak dan tanggungjawab yang digariskan dalam Islam adalah seperti yang tertera di bawah:


1. Hak individu

Setiap individu berperanan dan bertanggungjawab menjaga diri sendiri dari segi jasmani dan rohani. Kesihatan rohani dan jasmani amat penting dalam pembinaan individu yang sihat dan sejahtera. Perkara-perkara yang merosakkan diri seperti minum arak dan makan benda yang haram harus dielakkan sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasan.'
(Surah al-Baqarah: 195) 


2. Hak keluarga

Setiap ahli keluarga perlu bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat tinggal yang selesa. Malah, hak keluarga juga termasuk peranan ibu bapa memberi pendidikan Islam yang sempurna kepada anak-anak agar ahli keluarganya tunduk kepada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Wahai orang yang beriman jagalah diri kamu serta ahli keluarga kamu daripada api neraka.'

(Surah al-Tahrim: 6) 


3. Hak untuk hidup


Nyawa adalah sesuatu yang mulia dalam Islam dan setiap individu dalam masyarakat harus menghormati dan menghargai nyawa manusia. Malah syariah Islam memberi keutamaan dalam memelihara nyawa manusia sepertimana tercatat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Sesiapa yang membunuh manusia tanpa alasan yang membolehkan dia membunuh orang itu atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi maka seolah-olah dia telah membunuh manusia kesemuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia keseluruhannya.'
(Surah al-Maidah: 32) 


4. Menjaga maruah dan peribadi

Islam melarang setiap ahli masyarakat terlibat dalam perbuatan menjatuhkan maruah peribadi seseorang insan. Maruah dan peribadi adalah suatu nilai yang sangat mulia dalam Islam. Orang yang bermaruah dan berperibadi tinggi tidak akan melakukan perbuatan mencari kesalahan atau keburukan orang lain sehingga mencemarkan maruah dan peribadi orang itu. Malah, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:

'Dan janganlah sesetengah daripada kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan panggilan yang buruk.'

(Surah al-Hujurat: 11) 


5. Kebebasan berfikir dan menyatakan pendapat

Setiap individu bebas berfikir dan menyuarakan pendapat untuk menyatakan pandangan peribadi mereka. Namun begitu, kebebasan ini tidak boleh melanggar ketetapan syariah seumpama menyebarkan fitnah dan khabar buruk tentang seseorang yang tidak disukainya.


6. Kebebasan bergerak


Setiap manusia adalah bebas bergerak dalam negara yang sah sebagai tempat tinggalnya. Oleh itu, tiada siapa yang berhak untuk memaksanya meninggalkan sesuatu tempat itu tanpa sebab-sebab yang munasabah. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah.'
(Surah al-Mulk: 15) 


7. Hak sama rata

Setiap manusia berhak untuk mendapatkan layanan yang sama rata tanpa mengira bangsa dan keturunan. Malah, semua orang adalah sama di sisi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Bagi mereka masing-masing (daripada jin dan manusia yang berbuat baik dan jahat) disediakan pelbagai peringkat pembalasan yang sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan'.

(Surah al-Ahqaf: 19) 


8. Hak keadilan dan kehakiman

Tiada perbezaan kelas dalam perundangan Islam kerana setiap orang berhak mendapatkan pengadilan dan kehakiman untuk dirinya daripada penindasan dan penganiayaan. Pemerintah bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat mendapat hak pengadilan yang saksama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Hendaklah kamu menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka.'

(Surah al-Maidah: 49) 


9. Menegakkan makruf dan mencegah mungkar

Usaha menegakkan kebaikan dan mencegah keburukan adalah tanggungjawab setiap individu yang perlu dilakukan secara bersama-sama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perbuatan yang salah (buruk dan keji) dan mereka itulah orang yang berjaya.'
(Surah al-Imran: 104) 



10. Hak berpolitik dan bernegara

Negara Islam harus memberi hak berpolitik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan keturunannya. Hak mendapat perlindungan politik dan negara adalah berdasarkan hakikat bahawa Islam adalah agama yang mementingkan keadilan dan keamanan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Dan jika seorang daripada kaum Musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam) maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu) kemudiaan hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman.'
(Surah al-Taubah: 6) 


11. Hak pendidikan

Setiap manusia mempunyai hak untuk menuntut ilmu. Islam mewajibkan setiap Muslim, baik lelaki atau perempuan menuntut ilmu pengetahuan. Pemerintah juga wajib menyediakan kemudahan asas untuk masyarakatnya menuntut ilmu. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

'Menuntut ilmu itu adalah kewajiban bagi setiap Muslim dan Muslimat'.
(HR. Ibn Majah, al Baihaqi, Ibn Abd al-Barr)

Thursday, 20 April 2017

Islam Dan Masyarakat Majmuk

Falsafah dan konsep

     Masyarakat majmuk terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Negara Islam yang pertama disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah terdiri daripada masyarakat majmuk. Tegasnya, komponen utama masyarakat majmuk dalam negara Islam terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam. Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai bukanlah sesuatu yang asing bagi Islam. Malah, Allah s.w.t. telah menciptakan kepelbagaian manusia yang wujud di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud:

'Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berbeza puak (etnik) supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa.'
(Surah Al-Hujurat: 13)

     Maksud ayat di atas jelas menggambarkan pengiktirafan al-Qur’an terhadap kewujudan masyarakat majmuk. Ini boleh menambahkan kepelbagaian dan rencam hidup manusia supaya lebih menarik dan indah. Dengan kepelbagaian yang ada, manusia boleh kenal-mengenal dan menambahkan pengetahuan masing-masing.
     Bagaimanapun Islam memberi amaran bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi asas kepada perbezaan layanan keadilan dan taraf kedudukan. Menurut Islam, semua manusia walau apa jua bangsa atau warna kulit adalah sama. Satu perkara yang membezakan kedudukan mereka di sisi Allah ialah tahap ketakwaaan.


Peranan, hak dan tanggungjawab

     Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengendalikan masyarakat majmuk. Hak dan tanggungjawab masyarakat majmuk telah digariskan dalam Piagam Madinah iaitu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia yang telah disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w. berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah.


Antara hak dan tanggungjawab yang tertera dalam Piagam Madinah adalah seperti berikut:

a. Semua masyarakat adalah satu ummah yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

b. Warganegara Islam dan warganegara bukan Islam bertanggungjawab mempertahankan keselamatan negara daripada serangan musuh atau penceroboh.

c. Setiap warganegara bebas bergerak dan menetap di Madinah.

d. Setiap warganegara bebas bergiat, memiliki harta dan menuntut ilmu.

e. Masyarakat wajib saling menolong atas kebaikan bersama.

f. Masyarakat tidak boleh membantu musuh atau sekutu untuk melakukan kemungkaran.

g. Setiap warganegara yang dizalimi mesti dibantu dan berhak mendapat pembelaan.

h. Kebebasan mengamalkan ajaran agama tanpa paksaan.

i. Semua masyarakat mesti mengamalkan nilai yang baik.

     Hak dan tanggungjawab yang dinyatakan di atas adalah beberapa prinsip penting yang digariskan dalam Perlembagaan Madinah yang tediri daripada 47 Fasal. Masyarakat majmuk yang dibentuk di Madinah telah berjaya menjamin keadilan dan hak semua warganegara. Islam telah diterima hampir sepertiga dunia; dari Madinah, Eropah, Afrika, Asia dan negara-negara lain kerana sifat kepelbagaian yang ada dalam masyarakatnya.


Namun begitu, masyarakat beragama Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan hukum Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:

1. Kewajipan terhadap Allah s.w.t. apabila seseorang itu mengumumkan Islam sebagai agamanya (tanggungjawab akidah atau agama).

2. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam sebagai dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik).



Ummah Terbaik Dan Ummah Pertengahan

Ummah Terbaik ( Khayra Ummah )

     Kamu adalah umat yang terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu mempercayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu yang lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq. Surah ini, Aali Imran atau surah ketiga mempunyai process tensendir dan insan-insan yang menjadi ‘kamu’ dalam 3/110 adalah orang-orang yang telah beriman dalam agar 3/102. Yang dimaksud ‘khairu ummah’ pada waktu itu adalah generasi para sahabat nabi. Generasi yang dibangun oleh dakwah Rosulullah dan sahabat sampai pada kwalitas keimanan yang sangat baik, bahkan terbaik. Pertanyaan apa yang membuat generasi tersebut mendapatkan predikat ‘khairu ummah’ menjadi menarik untuk dikaji.

Sabda Rasulullah: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemunkaran, maka hendaklah ia merubah dgn tangannya, jika tak mampu lakukanlah dgn lisannya, & jika tak mampu juga, maka dgn hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” HR Muslim

     Menjadikan Al Qur’an sebagai rujukan utama dalam keberislaman, dalam setiap sendi kehidupan. Al Quran menjadi referensi utama dan pertama dalam setiap sudut kehidupan, para sahabat berpegang teguh hanya kepada Al Qur’an tidak kepada rujukan-rujukan lain yang marak pada akhir zaman ini.Interaksi para sahabat terhadap Al Quran adalah mereka membaca Al Quran untuk segera dilaksanakannya. Tentu kita bisa menilai sendiri dengan keadaan kita, banyak dari kita yang hanya mampu membaca Al Qur’an namun masih ragu-ragu dalam melaksanakannya.Tidak mau terlibat dalam segala bentuk kejahiliyahan baik dalam keyakinan, ritual ibadah, akhlaq perilaku. Para sahabat berani berputus dengan kejahiliyahan bahkan memeranginya demi kesucian keimanan mereka.

Ummah Pertengahan ( Ummatan Wasatan )


     Ummah pertengahan ialah Umat Pertengahan (Ummatan Wasatan)
Islam adalah satu agama yang memiliki keistimewaan dengan sifat ummatan wasatan iaitu umat pertengahan dengan maksud umat yang mengamalkan kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan. Kesederhanaan adalah perkara yang paling baik, paling betul dan paling wajar diikuti.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “ Demikianlah kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia, dan agar Rasul menjadi saksi atas (perbuatan kamu).” Surah al Baqarah (2) :143

Perkataan wasat (tengah-tengah) mempunyai makna yang banyak, di antaranya ialah:

i. Bahagian Yang Paling Mulia Atau Paling Baik Dan Paling Aman
Bahagian tengah daripada segala sesuatu adalah bahagian yang paling mulia atau paling baik dan paling aman, kerana terkawal oleh yang berada disekelilingnya, dan bahagian tengah juga merupakan pusat kekuatan. Pemimpin sesuatu kaum sentiasa ditengah-tengah dan para pengikutnya disekelilingnya.
Sabda Rasulullah s.a.w (bermaksud) :
“ Sebaik-baik perkara adalah yang paling tengah daripadanya.”
ii. Adil
Iaitu tidak memihak kepada salah seorang dari mereka yang sedang berselisih, hanya berpegang atau memihak kepada kebenaran.
Firman Allah s.w.t :
Maksudnya: “Telah berkata orang yang paling adil di antara mereka: Bukankah aku telah mengatakan kepadamu hendaklah kamu bertasbih kepada Tuhanmu?”
Al-Qalam (68) : 28
iii. Sederhana Atau Seimbang Antara Dua Sifat Atau Sikap Yang Melampau
Iaitu tidak terlalu keras dan tidak juga terlalu lembut, tidak terlalu boros dan tidak kedekut, tidak berlebihan dan tidak juga kekurangan, tidak terlalu mementingkan material sehingga mengabaikan masalah kerohanian sehingga mengabaikan masalah kerohanian.
iv. Jalan Yang Lurus Iaitu Jalan Yang Tidak Menyimpang Atau Menyeleweng
Garis yang paling tengah dari garis-garis yang menghubungkan dua titik adalah garis yang paling lurus dan merupakan juga garis yang paling pendek dan paling singkat. Maka jalan yang lurus bererti jalan yang tidak menyimpang atau menyeleweng.

Umat Islam sebagai umat pertengahan ialah umat yang mengamalkan kesederhanaan dalam semua aspek. Di bawah ini akan dinyatakan beberapa contoh kesederhanaan Islam:
i. Akidah:
Islam berada ditengah-tengah antara akidah komunisme yang tidak percaya kepada adanya tuhan dan akidah yang percaya kepada banyak tuhan. Dalam Islam konsep ketuhanan adalan berdasarkan ketauhidan (Tuhan Yang Maha Esa).
ii. Ibadah: 
Islam berada ditengah-tengah antara kumpulan yang hidup mereka hanya untuk beribadah di rumah-rumah ibadah dan kumpulan yang hidup mengejar keduniaan tanpa ikatan langsung dengan ibadah. Islam mengajar umatnya agar sentiasa beribadah dan juga mengajar mereka supaya jangan lupa habuan mereka di dunia.
iii. Halal-haram: 
Islam berada di tengah-tengah golongan yang mengharamkan semua benda kecuali sedikit sahaja dan golongan yang menghalalkan semua perkara.
iv. Perkahwinan:
Islam berada di tengah-tengah antara golongan yang mengharamkan kepada mereka perkahwinan dan golongan yang bebas berkahwin sebanyak mana yang mereka inginkan.
v. Pemilikan harta:
Islam berada di tengah-tengah antara golongan komunis yang tidak membenarkan rakyat memiliki harta dan golongan kapitalis yang bebas memiliki harta sebanyak mana yang mereka mahu dengan apa cara sekalipun walaupun melalui penindasan

Tuesday, 18 April 2017

Kesimpulan


     Keluarga merupakan komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negara. Tanpa institusi keluarga, kewujudan masyarakat dan negara tidak akan sempurna. Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pencorak yang penting dalam pembinaan masyarakat. Sekiranya keluarga yang dibentuk beriman, maka akan lahirlah masyarakat yang beriman dan begitulah sebaliknya.

     Suami isteri, ibu bapa dan anak-anak merupakan komponen keluarga yang utama. Allah s.w.t. telah menurunkan undang-undang kekeluargaan yang dipanggil munakahat untuk memastikan anggota keluarga tersebut menjalankan hak dan tanggungjawab masingmasing untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam menjamin keamanan dan kedamaian sebuah negara.

Pengenalan

       Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi ...