Thursday, 20 April 2017

Islam Dan Masyarakat Majmuk

Falsafah dan konsep

     Masyarakat majmuk terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Negara Islam yang pertama disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah terdiri daripada masyarakat majmuk. Tegasnya, komponen utama masyarakat majmuk dalam negara Islam terdiri daripada orang Islam dan orang bukan Islam. Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai bukanlah sesuatu yang asing bagi Islam. Malah, Allah s.w.t. telah menciptakan kepelbagaian manusia yang wujud di muka bumi ini seperti firman-Nya yang bermaksud:

'Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berbeza puak (etnik) supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa.'
(Surah Al-Hujurat: 13)

     Maksud ayat di atas jelas menggambarkan pengiktirafan al-Qur’an terhadap kewujudan masyarakat majmuk. Ini boleh menambahkan kepelbagaian dan rencam hidup manusia supaya lebih menarik dan indah. Dengan kepelbagaian yang ada, manusia boleh kenal-mengenal dan menambahkan pengetahuan masing-masing.
     Bagaimanapun Islam memberi amaran bahawa kepelbagaian tidak seharusnya menjadi asas kepada perbezaan layanan keadilan dan taraf kedudukan. Menurut Islam, semua manusia walau apa jua bangsa atau warna kulit adalah sama. Satu perkara yang membezakan kedudukan mereka di sisi Allah ialah tahap ketakwaaan.


Peranan, hak dan tanggungjawab

     Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengendalikan masyarakat majmuk. Hak dan tanggungjawab masyarakat majmuk telah digariskan dalam Piagam Madinah iaitu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia yang telah disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w. berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah.


Antara hak dan tanggungjawab yang tertera dalam Piagam Madinah adalah seperti berikut:

a. Semua masyarakat adalah satu ummah yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

b. Warganegara Islam dan warganegara bukan Islam bertanggungjawab mempertahankan keselamatan negara daripada serangan musuh atau penceroboh.

c. Setiap warganegara bebas bergerak dan menetap di Madinah.

d. Setiap warganegara bebas bergiat, memiliki harta dan menuntut ilmu.

e. Masyarakat wajib saling menolong atas kebaikan bersama.

f. Masyarakat tidak boleh membantu musuh atau sekutu untuk melakukan kemungkaran.

g. Setiap warganegara yang dizalimi mesti dibantu dan berhak mendapat pembelaan.

h. Kebebasan mengamalkan ajaran agama tanpa paksaan.

i. Semua masyarakat mesti mengamalkan nilai yang baik.

     Hak dan tanggungjawab yang dinyatakan di atas adalah beberapa prinsip penting yang digariskan dalam Perlembagaan Madinah yang tediri daripada 47 Fasal. Masyarakat majmuk yang dibentuk di Madinah telah berjaya menjamin keadilan dan hak semua warganegara. Islam telah diterima hampir sepertiga dunia; dari Madinah, Eropah, Afrika, Asia dan negara-negara lain kerana sifat kepelbagaian yang ada dalam masyarakatnya.


Namun begitu, masyarakat beragama Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan hukum Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:

1. Kewajipan terhadap Allah s.w.t. apabila seseorang itu mengumumkan Islam sebagai agamanya (tanggungjawab akidah atau agama).

2. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam sebagai dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik).



No comments:

Post a Comment

Pengenalan

       Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi ...