Saturday, 22 April 2017

Pembentukan Masyarakat

Falsafah dan Konsep

  • Masyarakat dalam konteks Islam ialah gabungan manusia yang diwujudkan atas ikatan syariah rabbani yang bermatlamatkan kehidupan yang sejahtera serta aman damai. Masyarakat Islam juga merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang beragama Islam, mengamalkan ajaran Islam dan saling berkaitan antara satu sama lain.

  • Masyarakat Islam yang pertama ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat di Madinah. Umat Islam yang berada di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan tugas yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan cekal, gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh bagi masyarakat Islam selepasnya.

  • Tegasnya, walaupun masyarakat Islam terdiri daripada pelbagai kelompok manusia seumpama lelaki, perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, namun perbezaan ini tidak menyekat masyarakat Islam daripada mengenali atau berinteraksi antara satu sama lain. Uniknya, masyarakat Islam dari segi definisinya bukanlah kerana perbezaan warna, kulit, bangsa, bahasa dan negara, tetapi sejauhmana masyarakat itu tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. Ketakwaanlah yang menjadi ukuran penting dalam menentukan konsep masyarakat Islam.

Peranan, Hak dan Tanggungjawab.


     Di samping memahami konsep dan asas-asas pembentukan masyarakat Islam, anda juga harus sedar akan peranan, hak dan tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat Islam. Antara peranan, hak dan tanggungjawab yang digariskan dalam Islam adalah seperti yang tertera di bawah:


1. Hak individu

Setiap individu berperanan dan bertanggungjawab menjaga diri sendiri dari segi jasmani dan rohani. Kesihatan rohani dan jasmani amat penting dalam pembinaan individu yang sihat dan sejahtera. Perkara-perkara yang merosakkan diri seperti minum arak dan makan benda yang haram harus dielakkan sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasan.'
(Surah al-Baqarah: 195) 


2. Hak keluarga

Setiap ahli keluarga perlu bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat tinggal yang selesa. Malah, hak keluarga juga termasuk peranan ibu bapa memberi pendidikan Islam yang sempurna kepada anak-anak agar ahli keluarganya tunduk kepada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Wahai orang yang beriman jagalah diri kamu serta ahli keluarga kamu daripada api neraka.'

(Surah al-Tahrim: 6) 


3. Hak untuk hidup


Nyawa adalah sesuatu yang mulia dalam Islam dan setiap individu dalam masyarakat harus menghormati dan menghargai nyawa manusia. Malah syariah Islam memberi keutamaan dalam memelihara nyawa manusia sepertimana tercatat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Sesiapa yang membunuh manusia tanpa alasan yang membolehkan dia membunuh orang itu atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi maka seolah-olah dia telah membunuh manusia kesemuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia keseluruhannya.'
(Surah al-Maidah: 32) 


4. Menjaga maruah dan peribadi

Islam melarang setiap ahli masyarakat terlibat dalam perbuatan menjatuhkan maruah peribadi seseorang insan. Maruah dan peribadi adalah suatu nilai yang sangat mulia dalam Islam. Orang yang bermaruah dan berperibadi tinggi tidak akan melakukan perbuatan mencari kesalahan atau keburukan orang lain sehingga mencemarkan maruah dan peribadi orang itu. Malah, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:

'Dan janganlah sesetengah daripada kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan panggilan yang buruk.'

(Surah al-Hujurat: 11) 


5. Kebebasan berfikir dan menyatakan pendapat

Setiap individu bebas berfikir dan menyuarakan pendapat untuk menyatakan pandangan peribadi mereka. Namun begitu, kebebasan ini tidak boleh melanggar ketetapan syariah seumpama menyebarkan fitnah dan khabar buruk tentang seseorang yang tidak disukainya.


6. Kebebasan bergerak


Setiap manusia adalah bebas bergerak dalam negara yang sah sebagai tempat tinggalnya. Oleh itu, tiada siapa yang berhak untuk memaksanya meninggalkan sesuatu tempat itu tanpa sebab-sebab yang munasabah. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah.'
(Surah al-Mulk: 15) 


7. Hak sama rata

Setiap manusia berhak untuk mendapatkan layanan yang sama rata tanpa mengira bangsa dan keturunan. Malah, semua orang adalah sama di sisi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Bagi mereka masing-masing (daripada jin dan manusia yang berbuat baik dan jahat) disediakan pelbagai peringkat pembalasan yang sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan'.

(Surah al-Ahqaf: 19) 


8. Hak keadilan dan kehakiman

Tiada perbezaan kelas dalam perundangan Islam kerana setiap orang berhak mendapatkan pengadilan dan kehakiman untuk dirinya daripada penindasan dan penganiayaan. Pemerintah bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat mendapat hak pengadilan yang saksama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Hendaklah kamu menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka.'

(Surah al-Maidah: 49) 


9. Menegakkan makruf dan mencegah mungkar

Usaha menegakkan kebaikan dan mencegah keburukan adalah tanggungjawab setiap individu yang perlu dilakukan secara bersama-sama. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perbuatan yang salah (buruk dan keji) dan mereka itulah orang yang berjaya.'
(Surah al-Imran: 104) 



10. Hak berpolitik dan bernegara

Negara Islam harus memberi hak berpolitik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan keturunannya. Hak mendapat perlindungan politik dan negara adalah berdasarkan hakikat bahawa Islam adalah agama yang mementingkan keadilan dan keamanan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

'Dan jika seorang daripada kaum Musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam) maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu) kemudiaan hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman.'
(Surah al-Taubah: 6) 


11. Hak pendidikan

Setiap manusia mempunyai hak untuk menuntut ilmu. Islam mewajibkan setiap Muslim, baik lelaki atau perempuan menuntut ilmu pengetahuan. Pemerintah juga wajib menyediakan kemudahan asas untuk masyarakatnya menuntut ilmu. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

'Menuntut ilmu itu adalah kewajiban bagi setiap Muslim dan Muslimat'.
(HR. Ibn Majah, al Baihaqi, Ibn Abd al-Barr)

2 comments:

Pengenalan

       Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi ...